Monday, October 12, 2009

Pekerja Indonesia bantah provokasi

Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my date: 12 OKTOBER 2009

SEKUMPULAN warga Indonesia mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Masjid Kayangan dekat Brinchang,Cameron Highlands mengutuk tindakan rakyat senegara membuat provokasi hingga menjejaskan hubungan Malaysia dan Indonesia, semalam.

Wakil lebih 1,000 kutuk tindakan Bendera

CAMERON HIGHLANDS: Sekumpulan pekerja Indonesia mengadakan perhimpunan aman di hadapan Masjid Kayangan Brinchang, di sini, semalam, bagi mengutuk tindakan rakyat negara mereka melakukan provokasi yang boleh menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia.

Kumpulan berkenaan yang mewakili lebih 1,000 warga Indonesia yang bekerja di sektor pertanian, pembinaan dan pembantu rumah sekitar Cameron Highlands mengadakan perhimpunan itu kerana tidak berpuas hati dengan keenganan sebahagian rakyat Indonesia menerima penjelasan isu tarian Pendet hingga mencetuskan sentimen anti-Malaysia.

Wakil kumpulan itu, Ahmad Thoyib Mat Sum, 50, berkata perhimpunan itu diadakan bagi menggambarkan warga Indonesia di Cameron Highlands tidak menyokong kekecohan dan keganasan seperti dilakukan sebahagian rakyat di negara mereka.

"Bantahan aman ini diadakan bagi membuktikan rakyat Indonesia di sini tidak terpengaruh dengan provokasi 'Sapu Malaysia' dan 'Ganyang Malaysia' atau terikut-ikut dengan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) Indonesia yang dilaporkan ingin melancarkan peperangan terhadap Malaysia.

"Kami mahukan ketenangan dan keselesaan bekerja di negara ini. Kita Indonesia-Malaysia adalah bangsa serumpun dan sewajarnya perlu hidup lebih aman," katanya di sini, semalam.

Ahmad Thoyib yang sudah 20 tahun bekerja di sektor pembinaan di Cameron Highlands sudah menerima status penduduk tetap.

Pada perhimpunan itu, lebih 10 pekerja Indonesia membawa sepanduk antaranya berbunyi 'Kami Aman Di Malaysia', 'SBY (Presiden Susilo Bambang Yudhoyono)/ NTR (Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak pemimpin terbaik). Bagaimanapun, kumpulan itu bersurai kira-kira 15 minit kemudian selepas dinasihatkan polis.

Ahmad Thoyib berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan segera dan seca-ra musyawarah bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh memburukkan hubungan Indonesia-Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata perhimpunan itu dilakukan dalam keadaan aman sebagai luahan perasaan pekerja Indonesia itu.

"Perhimpunan dilakukan secara spontan dan mereka mematuhi arahan polis sebaik diarahkan bersurai," katanya.

nota: terima kasih kepada warga Indonesia yang menyertai demontrasi aman ini. Sekurang-kurangnya masih ada warga Indonesia yang SEDAR diri dan syukur dengan kurniaan yang diberi oleh Allah SWT..

No comments:

Post a Comment