Tuesday, December 29, 2009

Persahabatan turut putus lepas cinta terlerai

SOALAN:

SAYA berusia 19 tahun dan mempunyai seorang sahabat. Kami berkawan sejak sekolah rendah dan kini hampir 13 tahun bersahabat. Sepanjang persahabatan itu, kami cukup mengenali satu sama lain sehingga suka duka zaman persekolahan dikongsi bersama.


Tanpa disedari, persahabatan itu mewujudkan perasaan cinta dan ia diteruskan sehingga masing-masing menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, selepas sedar tanggungjawab sebagai pelajar, hubungan cinta kami terputus dan dia turut memutuskan persahabatan kami.

Saya puas menghubunginya untuk berbaik sebagai sahabat, namun dia memarahi saya.

Dr, adakah hubungan persahabatan itu akan hancur apabila wujudnya rasa cinta? Apakah yang perlu saya lakukan untuk berbaik-baik semula dengan dia?

REMAJA 1Malaysia,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN:

SAMA ada ya atau tidak, itu bergantung kepada situasi dan apakah yang diinginkan pasangan sahabat atau kekasih. Ada pasangan sahabat lebih selesa terus menjadi sahabat.

Tidak kurang juga yang mendapati perkongsian masa dan banyak persamaan dari segi sikap, nilai serta kegemaran adalah petanda baik untuk mengalihkan persahabatan kepada sesuatu yang lebih mendalam iaitu percintaan.

Cinta wujud dalam pelbagai jenis, antaranya cinta persahabatan. Cinta boleh berlaku jika berlaku perasaan suka yang mendalam kepada seseorang yang benar-benar memahami dan sesuai dengan diri kita.

Perhubungan ini hanya berlaku dengan orang tertentu saja dan lazimnya kepada sahabat baik.

Dalam perhubungan ini, ada kalanya apabila perasaan cinta wujud antara kedua-dua pihak, ia disalahertikan. Akibatnya, hubungan persahabatan terbabit akan berubah dan ia tidak seperti dulu lagi.

Tanda positif bagi pasangan sahabat yang bersedia menukar hubungan persahabatan kepada percintaan antaranya, kedua-dua bersedia mengambil risiko dan mengalihkan persahabatan kepada perhubungan yang lebih mendalam.

Di samping itu, salah seorang lebih berminat berdampingan dengan sahabatnya berbanding orang lain.

Masing-masing bersedia melabur lebih banyak masa untuk satu perhubungan yang lebih bermakna.

Mengenai usaha adik berbaik semula sebagai sahabat, tetapi dimarahi kerana menghubunginya, langkah terbaik ialah memberi dia masa untuk melihat semula apakah yang patut dilakukan dalam konteks persahabatan ini.

Jika dia benar-benar menghargai keindahan persahabatan yang disemai sejak 13 tahun lalu, dia akan menghubungi adik. Banyak berdoa dan bersabar, insya-Allah hubungan adik dan si dia akan bersatu semula.

No comments:

Post a Comment